TRADISI 17 TAHUN, LEBIH RM2 JUTA DISALUR HARGAI GOLONGAN SUKARELA
Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Pemberian sumbangan kepada guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung dan mualaf merupakan tradisi tahunan yang sudah berlanjutan selama 17 tahun.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program yang dimulakan pada tahun 2009 oleh bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak itu diteruskan sebagai menghargai jasa golongan yang berkhidmat secara sukarela dalam masyarakat.
“Sudah 17 tahun tradisi ini berjalan sehingga tahun ini dengan perbelanjaan melebihi RM2 juta bagi menyalurkan sumbangan kecil ini kepada anggota masyarakat yang melakukan kerja-kerja sukarela.
“Suka atau tidak, pengganti yang menjadi Menteri Besar mesti meneruskan tradisi ini. Kita perlu cari dana untuk memastikan program ini diteruskan.
“Lagi tiga tahun genap 20 tahun, ia satu tempoh yang lama, pahala ini juga mengalir kepada pencetus program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Kuala Muda di Masjid Al-Amin, Sungai Layar, di sini.
Seramai 900 penerima terdiri daripada guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung dan mualaf menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kedah, melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Bukit Selambau, Gurun, Bakar Arang dan Sidam.
Sanusi memaklumkan, pada peringkat awal pelaksanaan, sumbangan diberikan khusus kepada guru al-Quran sukarela di kampung-kampung menggunakan dana daripada Yayasan Islam Negeri Kedah sebelum diperluaskan kepada golongan lain.
Beliau berkata, semua kerja yang dilakukan golongan terbabit adalah khidmat sukarela yang wajar dikenang dan dihargai, khususnya guru al-Quran yang banyak menyumbang kepada pembentukan sahsiah serta kehidupan masyarakat.
“Kita belajar al-Quran daripada guru-guru ini, kemudian kita pula mengajar anak-anak dan ahli keluarga. Semua itu datang daripada jasa guru yang mendidik kita.
“Perkara baik seperti ini perlu disuburkan. Apabila kita menyuburkan kebaikan, ia akan melahirkan lebih banyak kebaikan dalam masyarakat,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sanusi mengingatkan masyarakat agar bersama-sama membantu menyuburkan perkara yang membawa kebaikan, selain saling menasihati agar menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan serta menyusahkan orang ramai.
“Kita bertanggung jawab untuk menegur. Amar makruf nahi mungkar, bermaksud menyeru makruf dan mencegah kemungkaran adalah suatu tanggungjawab yang diwajibkan kepada umat Islam dan ia adalah antara syiar agama yang paling utama,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus menyuburkan inisiatif seumpama itu demi membawa lebih banyak rahmat dan kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini.
“Penyerahan sumbangan ini adalah tanda penghargaan dan ingatan atas jasa serta pengorbanan mereka yang banyak berbakti dan berkhidmat secara sukarela demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Saya harap tradisi ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Post a Comment