RUMAH TERBUKA AIDILFITRI: SAMBUTAN LUAR BIASA, MERIAH SABAN TAHUN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan kesyukuran apabila Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi, Seri Mentaloon terus mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat negeri ini saban tahun.
Beliau berkata, tahun ini merupakan penganjuran kali ke-enam sejak diberi amanah menerajui negeri pada 17 Mei 2020, namun majlis tersebut tidak dapat diadakan pada tahun pertama susulan pandemik COVID-19.
“Majlis ini mula diadakan pada 2021 dan diteruskan setiap tahun hingga hari ini. Alhamdulillah, kita melihat kehadiran tetamu semakin meningkat, menunjukkan semangat kekeluargaan rakyat Kedah yang begitu tinggi.
“Terima kasih semua rakyat Kedah,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, hari ini.
Menurut beliau, pada tahun lalu sebanyak 60,000 juadah disediakan, namun masih tidak mencukupi, justeru jumlah itu ditingkatkan kepada 80,000 pada tahun ini bagi menampung kehadiran yang lebih ramai.
“Jika sebelum ini kita membuka majlis seawal jam 11 pagi, namun seawal jam 10 pagi sudah ada yang menunggu untuk masuk. Bermula tahun lalu, kita mengambil pendekatan baharu dengan membuka majlis dari jam 5 petang hingga 10 malam,” katanya.
Tambahnya, penganjuran pada waktu petang hingga malam diteruskan bagi memastikan keselesaan pengunjung, khususnya dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Kita kekalkan waktu dari jam 5 petang hingga 11 malam untuk keselesaan semua terutama ibu bapa yang membawa anak kecil agar lebih selesa dan tidak perlu berhimpit dalam cuaca panas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanusi turut memaklumkan sebanyak 1,000 tempat duduk tambahan disediakan tahun ini, menjadikan keseluruhan 5,500 tempat duduk pada satu-satu masa.
“Ini adalah budaya kita, saling berkongsi dan bertolak ansur dalam suasana meriah seperti ini,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjayakan majlis berkenaan termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Yayasan Islam Negeri Kedah, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Bina Darul Aman Berhad (BDB), Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Permodalan Kedah Berhad, Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) serta Utiliti Infra Darulaman (UiDA).
Tidak ketinggalan, beliau turut menghargai sumbangan pelbagai pihak yang menyediakan juadah kepada tetamu seperti Firabib Food Sdn Bhd (Nasi Kabsah), Faiz Soul (minuman, kek), Tam Jebat Channel (laksam), Aishah Pak Karim (buah nangka), FC Dhuha Enterprise (tauhu crispy), Lubuk Rasa Enterprise (Nasi Jagung Ayam dan Daging), serta Roti Canai Terbang Pokok Sena.
“Tanpa sokongan semua pihak termasuk penaja dan penyumbang, penganjuran majlis berskala besar itu tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Bihun Sup Royal Utara Pendang dan Syarikat Serba Wangi Sdn Bhd yang menaja sebanyak 10,000 pax makanan dan minuman,” katanya.
Sementara itu, pengunjung turut berpeluang untuk singgah di ruang photobooth Kedah Tourism yang menampilkan tema ‘Perang Musuh Bisik’ bagi merakam kenangan sempena majlis berkenaan.

Post a Comment