MTN BELUM LULUSKAN SEMAKAN KADAR CUKAI TANAH BAHARU, KEDAH RUGI RM120 JUTA
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kadar cukai tanah baharu masih belum dapat dikuatkuasakan berikutan cadangan semakan tersebut belum mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN), menyebabkan Kedah kehilangan hasil RM120 juta.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga kini minit mesyuarat MTN berkenaan semakan cukai tanah masih belum dikeluarkan, justeru Kerajaan Negeri tidak boleh melaksanakan kadar baharu itu.
“Bila minit tak keluar, kita tak boleh kuat kuasakan lagi. Saya tak pasti adakah disebabkan kurang pengalaman, pengetahuan atau nasihat berhubung perkara ini.
“Dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang terakhir, saya bangkitkan perkara ini dan difahamkan tiada minit dari MTN, jadi kita tak dapat laksana kadar cukai baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Sanusi turut mempersoalkan kelulusan semakan kadar cukai tanah itu yang turut dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan, sedangkan ia tertakluk kepada Mesyuarat MTN seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mengikut Perlembagaan, semakan yang dikemukakan ke MTN sepatutnya diputuskan di peringkat MTN, tapi mereka memutuskan bawa ke Kabinet. Isu ini bukan bidang kuasa Kabinet,” katanya.
Menurutnya, kelewatan itu memberi kesan besar kepada kewangan negeri kerana semakan kadar cukai tanah yang dicadangkan dijangka meningkatkan kutipan hasil sebanyak RM120 juta berbanding sedia ada.
“Kita kehilangan RM120 juta, bagi negeri jumlah ini besar,” katanya.
Sanusi turut melahirkan kebimbangan sekiranya isu berkenaan dipolitikkan pihak tertentu.
“Mungkin ditahan untuk dilaksanakan tahun depan sebab dijangka diadakan pilihan raya umum (PRU). Saya agaklah, bukan sangkaan jahat.
“Mungkin mereka sekat sehingga kita laksana tahun depan supaya orang marah bila cukai naik, dan beri risiko kepada peluang (undi), saya harap bukan seperti itu.
“Saya harap minit berkenaan dikeluarkan, mungkin selepas dibahas dalam DUN, setelah Sultan Kedah bertitah tentang isu ini mungkin dapat perhatian Persekutuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan, semakan kadar cukai tanah dibuat selaras peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (KTN) yang membenarkan semakan setiap 10 tahun.
“Semakan cukai tanah terakhir pada 2016, bermakna semakan seterusnya pada 2026. Kita memulakan proses semakan dengan menubuhkan pasukan khas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG), mengambil masa hampir dua tahun melibatkan kira-kira 870,000 hak milik tanah.
“Peruntukan sebanyak RM2 juta ini turut melibatkan perbandingan dengan negeri lain bagi memastikan kadar yang dicadangkan munasabah,” katanya.
Tambah beliau, cadangan kadar baharu itu kemudian dikemukakan oleh PTG kepada Kerajaan Negeri dengan justifikasi munasabah sebelum dibawa ke MTN untuk kelulusan.
“Beberapa negeri lain seperti Melaka, Johor, Pahang dan Pulau Pinang telah melaksanakan semakan tanpa sebarang isu, namun Kedah diberikan perhatian khusus.
“Mungkin antara menjadi pertikaian melibatkan tanah-tanah Persekutuan di Kedah yang sebelum ini dikenakan cukai RM44 juta dan hasil semakan kadar baharu, meningkat kepada RM52 juta,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tegaskan, peningkatan itu hanyalah tambahan kira-kira RM9 juta dan bukannya cukai baharu seperti yang mungkin disalah tafsir.
“Semakan 2026 yang dicadangkan berlaku kenaikan RM9 juta, tetapi bukan cukai baharu, sebelum ini RM44 juta pun dibayar,” katanya.
Sehubungan itu, Sanusi berharap Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), MTN dan Kementerian Kewangan (MOF) dapat memberi perhatian segera bagi membolehkan semakan tersebut diluluskan.
“Ini isu besar melibatkan Perlembagaan. Jika minit dapat dikeluarkan segera, kita harap pelaksanaan dapat dipertimbangkan walaupun kita telah terlepas setahun,” katanya.
Menjawab soalan lisan Mohd Hayati berkenaan pelupusan denda lewat bayar cukai tanah pada tahun ini, Sanusi memaklumkan, anggaran adalah sebanyak RM49 juta sekiranya keseluruhan tunggakan cukai tanah dapat dikutip.
“Maksima masa pemilik yang gagal membayar cukai tanah adalah antara satu hingga tiga tahun sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Berdasarkan data sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 40 hak milik telah dilucut hak dengan jumlah tunggakan cukai RM909,963,” katanya.

Post a Comment