GANDA KEMERIAHAN: PESTA BUKU BIG BAD WOLF KEMBALI BERSAMA TEMASYA ORANG KEDAH
“BUKU SERENDAH RM3, HADIAH UTAMA GOLD BAR”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pesta Buku Big Bad Wolf Books kembali menggegarkan Kedah dengan sasaran menarik 50,000 pengunjung sepanjang 11 hari penganjurannya bermula hari ini hingga 9 Ogos di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti.
Pengurus Kanan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books, Chloe Lim berkata, sasaran itu hampir dua kali ganda berbanding lebih 25,000 pengunjung yang direkodkan pada penganjuran tahun lalu.
Menurutnya, sasaran pertambahan pengunjung kali ini didorong oleh kerjasama strategik dengan Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 yang berlangsung serentak.
“Gabungan kedua-dua acara mega itu dijangka menjadi tarikan utama kepada pencinta buku, seisi keluarga serta pelancong dari seluruh wilayah utara.
"Tahun ini juga merupakan kali pertama kami memperkenalkan hadiah utama berupa kepingan emas tulen PAMP Suisse 999.9 Fine Gold Bar seberat 10 gram menerusi peraduan Belanja & Menang.
"Pemenang akan diumumkan secara rasmi di pentas utama Stadium Sultan Abdul Halim pada 12 tengah hari, 9 Ogos," katanya pada majlis perasmian Big Bad Wolf Books Alor Setar 2026 di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd. Samat.
Chloe berkata, selain berpeluang memenangi kepingan emas, pengunjung turut menikmati diskaun sehingga 95 peratus bagi ratusan ribu judul buku merangkumi pelbagai genre termasuk fiksyen, bukan fiksyen, bacaan remaja dan kanak-kanak, dengan sebahagian buku ditawarkan pada harga serendah RM3.
Katanya, pelbagai promosi lain seperti tawaran kombo eksklusif, flash deals serta aktiviti kekeluargaan turut disediakan sepanjang tempoh penganjuran.
Tambah beliau, bagi menyemarakkan sinergi bersama TOK 2026, maskot ikonik Big Bad Wolf, Si Serigala akan membuat kemunculan khas di temasya tersebut, di perkarangan Stadium Darul Aman bagi sesi bertemu pengunjung.
"Pengunjung bukan sahaja boleh bergambar bersama maskot, malah berpeluang menerima baucar diskaun, cenderamata eksklusif dan menyertai cabutan bertuah selepas berkongsi gambar di media sosial," katanya.
Menurut Chloe, Pesta Buku Big Bad Wolf Books dan TOK 2026 bukan sahaja menggandakan kemeriahan, malah memupuk budaya membaca, merancakkan pelancongan domestik, serta memberi peluang untuk memiliki kepingan emas bernilai tinggi.
Post a Comment