DUN KEDAH LULUS USUL TITAH SULTAN KEDAH, PERKASAKAN LANGKAWI ‘PERMATA KEDAH’
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini sebulat suara meluluskan usul menjunjung titah Sultan Kedah berhubung hala tuju pembangunan Langkawi serta memperkasakannya sebagai ‘Permata Kedah’ secara lestari.
Usul berkenaan dibentangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud pada persidangan DUN Kedah dan mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis kemudian mengumumkan usul berkenaan diluluskan pada hari ini.
Ketika membentangkan usul berkenaan, Amar Pared berkata, titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah merupakan amanah dan pedoman kepada semua pihak bahawa pembangunan Langkawi perlu digerakkan secara terancang, mampan serta berteraskan identiti negeri.
“Dewan Undangan Negeri Kedah pada hari ini mengambil ketetapan menjunjung Titah Tuanku Sultan Kedah berhubung hala tuju pembangunan Langkawi serta memperkasakannya sebagai Permata Negeri Kedah secara lestari,” katanya.
Berdasarkan titah serta aspirasi Sultan Kedah itu, enam ketetapan digariskan untuk memastikan pembangunan Langkawi terus dipacu secara terancang dan mampan.
Pertama, DUN Kedah menyatakan sokongan serta taat setia tidak berbelah bahagi terhadap titah Sultan Kedah berhubung hala tuju pembangunan Langkawi selain beriltizam menjayakan aspirasi tersebut.
Kedua, DUN menyokong segala usaha Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia berteraskan prinsip kelestarian, pemeliharaan khazanah alam sekitar dan warisan, kesejahteraan masyarakat setempat serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya saing.
Ketiga, DUN menggesa Kerajaan Persekutuan memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Kedah menerusi peningkatan keterhubungan udara dan laut, pemerkasaan status Pulau Bebas Cukai, pembangunan infrastruktur strategik, pemuliharaan aset pelancongan serta promosi pelancongan yang lebih agresif dan bersepadu.
Keempat, DUN menolak dengan tegas sebarang cadangan, usaha atau tindakan yang boleh menjejaskan kedudukan Pulau Langkawi sebagai sebahagian daripada Negeri Kedah, termasuk perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, fakta sejarah, kedaulatan negeri serta kepentingan rakyat Kedah.
Kelima, DUN menyeru seluruh rakyat, pemimpin, agensi kerajaan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan bersama-sama memelihara imej, nama baik serta reputasi Langkawi dengan mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, industri pelancongan dan kepentingan ekonomi negeri.
Keenam, DUN menggesa Kerajaan Negeri menyediakan Pelan Induk Pembangunan Langkawi yang komprehensif, bersepadu dan berpandangan jauh sebagai dokumen rujukan utama pembangunan pulau berkenaan.
Pelan induk itu hendaklah berteraskan titah Sultan Kedah selain mengangkat identiti serta keunikan Langkawi, mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan warisan serta memperkasakan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pelan berkenaan juga perlu menjadi panduan kepada semua agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan Langkawi secara mampan.
Menurut Amar Pared, titah Sultan Kedah merupakan amanah yang wajar diterjemahkan kepada tindakan, dasar dan pelaksanaan berkesan bagi menjamin kelangsungan pembangunan Langkawi sebagai Permata Kedah dan kebanggaan Malaysia.
“Semoga enam ketetapan yang diusulkan ini menjadi manifestasi iltizam Dewan Undangan Negeri Kedah dalam menjunjung titah Sultan Kedah serta memastikan pembangunan Langkawi terus dipacu secara lestari, inklusif dan berdaya saing demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya.
Post a Comment