PELAN PEMBANGUNAN LANGKAWI BERASASKAN ACUAN SENDIRI, PACU PERTUMBUHAN PELANCONGAN
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Pelan Pembangunan Daerah Langkawi yang komprehensif dan berpandangan jauh perlu dibangunkan bagi memastikan hala tuju pembangunan pulau berkenaan lebih tersusun, berdaya saing serta selari dengan agenda Kedah 2035.
ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad berkata, Langkawi perlu dibangunkan dengan acuan dan identiti tersendiri, bukannya meniru destinasi pelancongan lain.
Menurutnya, cadangan berkenaan disifatkan penting bagi memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf global, selain memastikan pembangunan pulau itu dilaksanakan berdasarkan kekuatan dan potensi setempat.
“Keunikan Langkawi perlu terus diketengahkan menerusi kekuatan yang dimiliki termasuk status UNESCO Global Geopark, Pulau Rendah Karbon, Pulau Bebas Cukai serta ekosistem mesra Muslim dan keluarga.
“Langkawi mesti dibangunkan dengan DNA-nya tersendiri dan kekuatan yang ada perlu digilap sebagai ‘selling point’ serta penjenamaan Pulau Langkawi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah berhubung hala tuju Pulau Langkawi sebagai Permata Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan selari dengan gagasan Kedah 2035 yang menekankan perancangan pembangunan berdasarkan kekuatan dan potensi setempat.
Abdul Ghafar turut menegaskan bahawa pembangunan Langkawi tidak seharusnya dilihat secara bersendirian, sebaliknya perlu mengambil kira kerjasama serantau dan hubungan dengan destinasi pelancongan di sekitarnya.
“Antara pakej pelancongan serantau yang boleh diintegrasikan bersama Langkawi ialah Northern Malaysia Experience yang merangkumi Langkawi, Perlis, tanah besar Kedah dan Pulau Pinang; Malaysia-Thailand Experience yang menghubungkan Langkawi, tanah besar Kedah dan Selatan Thailand serta Kuala Lumpur-Langkawi Experience.
“Pembangunan Pulau Langkawi tidak lagi boleh dibangunkan secara stand alone tanpa mengambil kira kesinambungan, perhubungan serta saling melengkapi antara satu sama lain dengan destinasi pelancongan sekitar,” katanya.
Post a Comment