Header Ads

test

KENYATAAN DIPUTAR BELIT: SANUSI SELESAI BERI KETERANGAN KEPADA POLIS

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan, beliau telah selesai memberikan keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung ucapannya dalam satu ceramah di Negeri Sembilan, bulan lalu.
Beliau berkata, rakaman percakapan itu diambil oleh pegawai polis di Alor Setar pada 2 Ogos walaupun siasatan melibatkan kes yang berlaku di Negeri Sembilan.
"Statement saya sudah diambil di Alor Setar walaupun kes di negeri lain. Polis datang sini, polis pun tahu saya sibuk.
"Saya di mana pun boleh beri kenyataan. Saya tak ada masalah, cuma mereka (polis) sudah datang sini, Alhamdulillah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurut beliau, proses merakam percakapan itu berjalan lancar dan hanya mengambil masa yang singkat kerana soalan yang dikemukakan tidak banyak.
"Tak lama ambil keterangan berdasarkan soalan dia, sekejap saja. Soalan tak banyak mungkin sebab semuanya telah jelas.
"Saya jawab dengan teratur berdasarkan fakta semasa. Statement polis mana boleh tokok tambah. Apa yang ada, adalah. Apa yang tak ada, tak adalah. Selesai.
"Alhamdulillah. Terima kasih kepada PDRM Negeri Sembilan dan juga Kedah," katanya.
Sebelum ini, pada 28 Julai, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan Sanusi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya dalam satu ceramah di negeri itu.
Menurut beliau, siasatan kes tersebut masih berjalan dengan rakaman percakapan beberapa saksi telah diambil.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan kes berkenaan dilakukan susulan ucapan Sanusi pada 23 Julai lalu ketika berkempen di Negeri Sembilan yang menyentuh mengenai kedudukan orang Melayu di Tanah Melayu.
Sanusi menyatakan, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Ucapan tersebut kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi selepas petikannya tersebar di media sosial dan ditafsir secara berbeza oleh pelbagai pihak, sehingga membawa maksud di luar konteks sebenar.

Tiada ulasan