Header Ads

test

LANGKAWI PERLU SEKURANG-KURANGNYA 10 TRIP FERI SEHARI

 

Oleh: Amal Nabila Abdul Khadi
ALOR SETAR - Perkhidmatan feri ke Langkawi perlu dipertingkatkan kepada sekurang-kurangnya 10 perjalanan sehari bagi memastikan keperluan penduduk dan pelancong tidak terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, ketika ini dilaporkan perkhidmatan feri hanya sekitar tiga perjalanan sehari susulan peningkatan kos operasi dan kenaikan harga bahan api sejak Mac lalu.
Menurutnya, keadaan itu disifatkan tidak sepadan dengan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa selain memberi kesan langsung kepada penduduk tempatan dan pemain industri pelancongan.
"Bagi penduduk Langkawi, feri bukan sekadar pilihan pengangkutan sebaliknya merupakan keperluan utama untuk menghubungkan mereka dengan tanah besar.
"Jika perkhidmatan feri dikembalikan kepada 10 perjalanan sehari seperti sebelumnya, saya yakin jumlah pelancong domestik ke Langkawi juga dapat ditingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambah Mohd Salleh lagi, pengurangan kekerapan perjalanan turut memberi kesan kepada peniaga kecil, pengusaha restoran, e-hailing, pemandu pelancong serta pengusaha aktiviti rekreasi yang bergantung kepada kehadiran pelancong.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Persekutuan disaran mewujudkan pelan jangka panjang bagi memastikan perkhidmatan feri Langkawi beroperasi secara konsisten dan mampu menampung keperluan rakyat dan pelancong.
"Perkhidmatan feri juga wajar dipertimbangkan sebagai perkhidmatan kepentingan awam yang boleh menerima sokongan berterusan kerajaan, selain membuka ruang kepada pengendali baharu bagi mewujudkan persaingan sihat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan